ISU-ISU SENTRAL DALAM PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL:
KES INDONESIA DAN PENGAJARANNYA UNTUK MALAYSIA

Oleh Dr.Ugi Suharto
International Islamic University Malaysia

Pendahuluan

Istilah "Islam Liberal" pertama kali digunakan oleh para penulis Barat seperti Leonard Binder¹ dan Charles Kurzman.² Binder menggunakan istilah 'Islamic Liberalism', sementara Kurzman memakai istilah 'Liberal Islam'. Secara tersirat kedua-duanya mempercayai bahawa Islam itu banyak; 'Islam Liberal' adalah salah satunya. Namun sebelum kita melanjutkan perbincangan ini, pertamanya kita mesti nyatakan dahulu bahawa Islam itu satu dan tidak banyak. Yang nampak banyak sebenarnya adalah 'mazhab' dalam Islam, bukan Islam itu sendiri. Jadi istilah 'Islam Liberal' yang kita maksudkan disini adalah "Pemikiran Islam Liberal" yang merupakan satu aliran berfikir baru di kalangan umat Islam.

Kemudian perkara yang kedua yang kita perlu jelaskan juga adalah, pemikiran Islam liberal ini tidak termasuk dalam mazhab Islam. Mengapa? Kerana mazhab-mazhab dalam Islam tetap merujuk pada induk yang sama, yang disepakati, yang satu, yang mapan, yang dipersetujui oleh seluruh umat Islam dari dahulu sehingga kini, di berbagai negeri dan lokaliti. Adapun pemikiran Islam liberal, ia adalah suatu pemikiran yang berupaya membebaskan dan 'meliberalkan' umat Islam dari Islam yang satu, yang disepakati, dan Islam yang sudah mapan (established) itu. Secara ringkasnya pemikiran Islam liberal tidak dapat dikatakan sebagai mazhab Islam kerana pemikiran ini bertujuan 'meliberalkan' dan merongkai takrif Islam yang telah dipersetujui oleh seluruh umat Islam tadi.

Natijah dari penjelasan pertama dan kedua di atas, maka lahirlah penjelasan ketiga yang perlu kita nyatakan juga, iaitu bahawa pada hakikatnya pemikiran lslam liberal bukan pemikiran Islam yang sebenarnya, malah lebih tepat untuk dikatakan bahawa pemikiran Islam liberal adalah pemikiran liberal yang ditujukan kepada Islam. Oleh itu tidak patut nama pemikiran Islam itu disandarkan padanya. Namun sebagai bahan perbincangan kita, tidak ada salahnya kita gunakan juga frasa 'pemikiran Islam liberal' untuk memudahkan wacana dan syarahnya. Sama seperti al-Qur'an menggunakan perkataan 'tuhan' secara kiasan (majazi) untuk sesuatu yang disembah oleh kaum musyrikin, padahal al-Qur'an pada masa yang sarna menyatakan bahawa 'tidak ada tuhan melainkan Allah'.

Akar-akar Pemikiran Islam Liberal

Pemikiran Islam liberal berpunca dari pengaruh pandangan hidup Barat dan peradabannya yang hegemonic dan mendominasi semua bidang kehidupan dewasa ini. Ia merupakan percampuran antara pemikiran 'modernism' yang cuba memberikan tafsiran Islam yang sesuai dengan 'modernity' dan pemikiran 'post-modernism' yang cuba melakukan 'deconstruction' terhadap segala pemikiran yang sudah mapan (established). Namun dapat dikatakan bahawa dalam pemikiran Islam liberal pengaruh pemikiran 'post-modernism' lebih ketara. Upaya untuk merombak (deconstruct) segala yang sudah mapan dalam Islam, merupakan ciri utama pemikiran ini. Takrif Islam yang telah mapan, misalnya, perlu diliberalkan dan dirombak, sehingga orang bukan Islam pun dapat dikatakan sebagai Muslim, dan agama selain Islam pun dapat ditafsirkan sebagai Islam juga. AI-Qur'an dalam bentuknya sebagai Mushaf Uthmani yang telah disepakati oleh semua kaum Muslimin, baik Sunni maupun Syi'ah, juga perlu kepada 'deconstruction', kononnya untuk mendapatkan wahyu Tuhan yang asal sebelum Khalifah Uthman merasmikan mushafnya untuk seluruh kaum Muslimin.

Pemikiran Islam liberal juga memanfaatkan dan mendapatkan modal murah dari radikalisme yang terjadi pada sebahagian kaum Muslim. Reaksi mereka bukan hanya tertumpu kepada golongan radikal dari kalangan kaum Muslimin semata-mata, namun kepada Islam dan sumber-sumber Islam yang telah disalah anggap sebagai sumber radikalisme oleh mereka. Hal ini sejalan dengan fahaman Barat terhadap Islam pada hari ini bahawa ajaran-ajaran Islam itu sebati dengan terorisme dan penghalang kepada kemajuan peradaban sekular mereka. Dalam hal ini politik Barat sudah tentu mempergunakan para pemikir Islam liberal untuk merungkai dan membongkar (deconstruct) simpul-simpul Islam yang kukuh dari dalam tubuh umat Islam sendiri. Barat melihat ajaran Islam sebagai benteng penghalang globalisasi peradaban sekular yang perlu diruntuhkan (deconstruct) terlebih dahulu menerusi para pemikir liberal ini.

Dalam upaya meruntuhkan bangunan ajaran Islam yang kukuh, pemikiran Islam liberal tidak segan silu mengambil kajian-kajian orientalis, metodologi kajian agama lain, ajaran human right dalam konteks humanisme Barat, falsafah sekularisme, dan pandangan-pandangan yang bercanggah dengan Islam. Untuk menyempurnakan penyamaran mereka terhadap kaum Muslimin awam dan supaya tetap dikatakan pemikiran itu sebagai bahagian dari Islam, pemikiran Islam liberal juga menggunakan bahan-bahan dari turath dan persuratan Islam dengan mengambil bahan-bahan yang kontroversial dan marginal. Alasan mereka, bahan-bahan yang menyokong mainstream Islam adalah hasil dari persekongkolan para ulama dan para penguasa di zaman dahulu. Bahan-bahan itu adalah 'construction' ulama yang perlu kepada 'deconstruction' supaya pemikiran umat Islam bertambah maju, seiring dengan kemajuan sekularisme Barat.

Pemikiran Islam Liberal di Indonesia

Dalam konteks Indonesia ada disertasi yang ditulis oleh Greg Barton pada tahun 1995 mengenai kemunculan pemikiran liberal di kalangan pemikir Indonesia. Disertasi yang asalnya bertajuk: The Emergence of Neo-Modernism: A Progressive, Liberal Movement of Islamic Thought ini kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa Indonesia menjadi satu buku yang bertajuk "Gagasan Islam Liberal di Indonesia: Pemikiran Neomodernisme Nurcholis Madjid, Djohan Effendi, Ahmad Wahib, dan Abdurrahman Wahid", yang diterbitkan atas kerjasama Paramadina, Yayasan Adikarya Ikapi, dan Ford Foundation pada tahun 1999. Pemikiran Islam liberal, yang biasa disingkat sebagai 'Islib', kemudian dipopularkan oleh satu kumpulan para pemuda dengan menubuhkan satu rangkaian kerjasama di dalam dan di luar negara, yang mereka namakan sebagai 'Jaringan Islam Liberal' (JIL).

Apa yang akan dipaparkan dalam kertas ini adalah beberapa isu pokok dalam pemikiran Islam liberal yang berkembang di Indonesia. Memang terlihat jelas bahawa pemikiran-pemikiran liberal yang dilontarkan oleh golongan ini merupakan penyerapan dan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang di dunia Barat. Proses pembaratan dan globalisasi kultural yang berjalan di Indonesia selama ini telah melahirkan golongan pemikir yang merasa selesa dengan pemikiran agama seperti yang terjadi di Barat. Islib kini menjadi satu lagi jentera globalisasi, bukan dalam bidang ekonomi, tapi dalam bidang agama. Seperti juga nasib agama-agama di Barat, Islib hendak menjadikan Islam sama seperti Kristian atau Faham Yahudi di Barat yang tunduk dengan kehidupan duniawi, dengan cara membebaskan umat Islam dari ajaran-ajaran Islam yang tulen menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan selera dan agenda Barat. Hal ini sesuai dengan motto dan syiar Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia iaitu 'Islam Yang Membebaskan.’ Pembebasan yang pertama, seperti yang terjadi di dunia Barat, adalah menerusi proses sekularisasi dan sekularisme yang berambisi membebaskan umat manusia dari pengaruh-pengaruh alam ruhani.

Sekularisasi dan Sekularisme

Sejak permulaan tahun 1970 isu sekularisasi di Indonesia telah dilancarkan oleh seorang sarjana agama yang bernama Drs. Nurcholis Madjid yang ketika itu menjawat sebagai Ketua Umum Pengurus Besar Himpunan Mahasiswa Islam (HMI). Dalam ucapannya pada 2hb Januari 1970 yang bertajuk "Keharusan Pembaharuan Pemikiran Islam dan Masalah Integrasi Umat" (Arena 1), begitu juga dalam artikelnya yang lain yang bertajuk "Sekali Lagi Tentang Sekularisasi" (Arena 2), Cak Nur, nama panggilan Nurcholis, telah memperkenalkan istilah "sekularisasi" kepada masyarakat Islam Indonesia dengan mendakwa bahawa sekularisasi tidaklah dimaksudkan penerapan sekularisme. Bahkan menurutnya proses sekularisasi itu merupakan proses Islami seperti tertuang dalam permulaan kalimah syahadah itu sendiri. Beliau jelas-jelas mengatakan bahawa, "Agama Islam bila diteliti benar-benar dimulai dengan proses sekularisasi lebih dulu. Justru ajaran 'Tauhid' itu merupakan pangkal tolak proses sekularisasi besar-besaran".

Pendapatnya yang aneh dan mengelirukan itu telah mendapat bantahan keras secara ilmiah oleh Prof. Dr. H.M. Rasjidi, yang ketika itu menjawat sebagai profesor Institut Agama Islam Negri (lAIN). Dalam satu bukunya yang bertajuk "Koreksi Terhadap Drs. Nurcholis Madjid Tentang Sekularisasi" yang terbit tahun 1972, Prof. Rasjidi menyatakan bahawa Nurcholis telah menggunakan perkataan sekularisasi lantas memberikan arti semahunya sendiri, padahal istilah sekularisasi dan sekularisme itu adalah istilah yang sudah mapan dari segi maknanya, dan kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Seolah-olah Nurcholis ingin menunjukkan kepada masyarakat Islam di Indonesia bahawa proses sekularisasi itu tidak semestinya bersifat negatif dalam pandangan Islam. Bahkan sekularisasi itu menjadi sesuatu yang sangat sebati dengan Islam, kerana akar sekularisasi itu sudah ada pada kalimah tauhid itu sendiri.

Sebenarnya Nurcholis Madjid telah terpengaruh dengan cara analisis Harvey Cox dari kalangan pemikir Kristian yang mengatakan bahawa akar sekularisasi itu sudah ada dalam ajaran-ajaran Bible. Cak Nur memang membaca karya Harvey Cox, The Secular City, yang terbit tahun 1965 dan ketika itu menjadi best-seller di Amerika. Nurcholis kemudian mengambil gagasan utama Cox itu untuk diterapkan pada Islam. Namun beliau tidak memberitahu masyarakat awam bahwa gagasan sekularisasi itu adalah diciplak dari pemikiran Harvey Cox.

Di sinilah kerancuan pemikiran Cak Nur yang telah mencampur-adukkan antara istilah yang memiliki erti yang sudah mapan dengan pengertian bahasa semata-mata. Di sini juga telah terlihat adanya usaha-usaha untuk menjungkirbalikkan makna-makna ilmiah yang sudah 'established' dan mapan serta mengelirukan orang awam dengan pengertian baru tanpa tanggungjawab ilmiah sama sekali.

Oleh itu tidak aneh apabila Prof. Rasjidi yang memang sudah lama bergelut dalam kehidupan ilmiah menyindir Nurcholis Madjid muda dengan kata-katanya:

"Walaupun saya sendiri faham bahasa Inggeris sudah hampir semenjak 40 tahun yang lalu dan pernah mengajar dalam suatu Universitas dengan bahasa Inggeris, namun saya tidak berani memaksakan suatu istilah yang sudah menjadi umum dalam dunia ilmu pengetahuan. Bagi Drs. Nurcholis Madjid, sekularisasi artinya menganggap dunia ini arena kegiatan manusia, tidak ada yang tabu, tidak ada yang sakral. Faham ini adalah faham yang salah dan akan menyebabkan akibat-akibat yang sangat besar dan tidak kita harapkan."

Nurcholis muda rupanya tidak mahu memperdulikan nasihat Pak Rasjidi. Pada 30hb Oktober 1972, Nurcholis sekali lagi membentangkan kertas kerja di Taman Ismail Marzuki (TIM) dengan tajuk "Menyegarkan Faham Keagamaan di Kalangan Ummat Islam Indonesia". Apabila Prof. Rasjidi membaca dan mendengar menerusi kaset ceramah Cak Nur itu, maka timbul rasa syak dan curiga dalam diri Pak Rasjidi. Beliau mengatakan :

"Setelah saya membaca dan mendengarkan ceramah Drs. Nurcholis di Taman Ismail Marzuki tersebut, berubahlah gambaran saya tentang beliau. Gambaran saya yang baru itu bukanlah gambaran seorang muda yang penuh rasa gairah terhadap Islam dan ingin mempertahankannya, akan tetapi pada tingkat sekarang cukup saya katakan bahwa dengan singkat kesan saya adalah saya dihinggapi rasa curiga."

Dalam kesempatan yang lain, setelah menganalisis ungkapan-ungkapan Cak Nur, Pak Rasjidi merasakan bahawa Nurcholis seolah-olah mewakili orientalis yang tidak mempunyai hubungan jiwa dengan Islam. Kata beliau:

"Dengan mencantumkan tiga paragraph di atas, saya merasa seakan-akan saya berhadapan dengan seorang sarjana Barat yang sama sekali tidak mempunyai hubungan batin dengan Islam."

Pada bahagian "Penutup" komentarnya itu, Pak Rasjidi menyimpulkan pemikiran Nurcholis muda ketika itu sebagai pemikiran yang belum matang, mentah, serta tidak memenuhi syarat sebagai pembaharu dalam Islam. Bukan hanya itu, bahkan pemikiran-pemikiran Cak Nur itu sangat berbahaya dan harus diwaspadai. Kata Pak Rasjidi:

"Dengan keterangan-keterangan di atas dapat saya simpulkan bahawa segala pemikiran Drs. Nurcholis dan kelompok pembaharuannya, merupakan fikiran orang yang belum matang dan tidak memenuhi syarat.Terang sekali bahawa fikiran Drs. Nurcholis adalah berbahaya kepada umat Islam Indonesia, kerana fikiran-fikiran itu menuju kepada sekularisasi. Mudah-mudahan kita selalu berwaspada."

Namun sayang golongan pendokong pemikiran Islam liberal lebih suka mendengar gagasan Cak Nur yang keliru itu daripada nasihat Pak Rasjidi yang secara ilmiah dan akademik lebih bertanggungjawab. Jangkaan Pak Rasjidi bahwa 'faham ini adalah faham yang salah dan akan menyebabkan akibat-akibat yang sangat besar yang tidak kita harapkan' kini telah menjadi kenyataan apabila generasi muda setelah berlalunya zaman Cak Nur, khususnya yang tergabung dalam Jaringan Islam Liberal (JIL), dengan penuh semangat menyahut kembali seruan sekularisasi Cak Nur dan bahkan mendokong pembentukan negara sekular tanpa segan dan silu. Koordinator JIL, Ulil Absar-Abdalla mengatakan: "Islam Liberal bisa menerima bentuk negara sekular sebab, negara sekular bisa menampung energi kesalahan dan energi kemaksiatan sekaligus."

Dr. Denny JA, seorang lagi aktivis Islib (singkatan Islam Liberal) menyatakan:

"Sudah saatnya komunitas Islam Liberal di Indonesia mengembangkan sebuah teologi tersendiri yang sah secara substansi dan metodologi, iaitu Teologi Islam Liberal. Ini sebuah filsafat keagamaan yang bersandar pada teks dan tradisi Islam sendiri, yang memberi pembenaran pada sebuah kultur liberal. Dalam politik, teologi itu menjadi Teologi Negara Sekular (TNS), iaitu sebuah filsafat keagamaan, yang menggali dari teks dan tradisi Islam, yang paralel atau membenarkan perlunya sebuah negara yang sekular sekaligus demokratis."

Masalah Islam dan sekularisme ini sudah panjang lebar dikemukakan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya "Islam and Secularism" yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tahun 1978. Kesimpulan beliau adalah sekularisme adalah memusuhi Islam dan proses sekularisasi memang ditujukan untuk melawan Islam. Oleh sebab itu istilah-istilah seperti sekularisme, sekularisasi, dan sekular itu sendiri tidak boleh dihubung dan dikaitkan dengan Islam. Bahkan terjemahan perkataan sekularisme dalam bahasa Arab seperti 'ilmaniyyah' atau 'almaniyyah' adalah tidak tepat sama-sekali, kerana tidak ada padanannya dalam konsepsi Islam. Begitu juga pemikir Islam yang lain seperti Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, menyatakan pendapat yang sama bahawa sekularisme dan sekularisasi itu bercanggah dengan Islam dan akan sentiasa berkonfrantasi dengan Islam, seperti dinyatakan dalam buku beliau "aI-Islam wa al- 'Ilmaniyyah Wajhan Ii Wajhin". Keselarasan dua pemikir agung Muslim ini, ditambah lagi dengan hujah-hujah Pak Rasjidi dalam menyanggah Nurcholis Madjid sebelum itu, sepatutnya menjadi pegangan umat Islam di Indonesia dan juga di Malaysia untuk menolak sebarang unsur faham sekular yang cuba diserapkan dalam pemikiran umat Islam di rantau ini.

Kita mesti terus menerus mengawasi, waspada dan peka terhadap perjuangan kelompok Islam Liberal yang terang-terang hendak membentuk negara sekular yang tidak akan memberi ruang publik kepada Islam yang syamil dan kamil. Dalam konteks Indonesia, Islam memang sejak awal tidak dinyatakan sebagai agama rasmi negara. Namun kerana majoriti penduduk Indonesia adalah Muslim, secara teori dan cultural, Islam boleh lebih 'berkuasa' di Indonesia dan lebih memungkinkan secara demokratik untuk diperjuangkan oleh umat Islam. Tapi dengan munculnya gerakan Islib, kesatuan akidah dan pemikiran Islam telah dipecah belah lebih dahulu. Bagi mereka tidak ada Islam yang satu; yang ada adalah "Islams" atau Islam 'warna-warni' dan caca-marba. Islam yang liberal seperti itu sudah tentu Islam yang dikuasai oleh sekularisme, dan itu bukan Islam yang sebenarnya.

Dalam konteks Malaysia pula, Islam telah dinyatakan dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara. Dari satu segi, hal ini merupakan perlindungan undang-undang kepada Islam itu sendiri. Namun perlu diingat bahawa proses globalisasi yang tengah berjalan lambat atau cepat akan melabrak juga undang-undang setiap negara. Apabila kubu pertahanan ini tumbang, sementara bilangan penduduk kaum Muslimin di Malaysia bukanlah majoriti, maka sudah pasti kedudukan Islam akan tergugat di Malaysia.

Sepatutnya ada kerjasama yang rasmi dan khusus antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha membangunkan Islam. Kerjasama ini dapat berjalan di peringkat kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kekuatan majoriti Muslim di Indonesia dan kekuatan undang-undang rasmi di Malaysia sepatutnya dilihat sebagai 'strength' (SWOT) masing-masing negara dalam membedung arus liberalisasi Islam yang sedang berjalan, supaya Indonesia dan Malaysia tidak secara rasmi menyatakan diri sebagai negara sekular. Na 'udzu billah min dzalik.....

Bersambung...