Di
dalam lipatan sejarah, Allah s.w.t. telah mentakdirkan
satu peristiwa hijrah yang amat besar dan agung
telah berlaku lebih 1400 tahun yang lalu bersamaan
pada tahun 622 masihi melibatkan junjungan besar
Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabat dari
kota Mekah menuju ke Madinah. Sebelum peristiwa
hijrah secara besar-besaran ini, telah berlaku
satu penghijrahan kecil melibatkan para sahabat
dari Mekah ke Habsyah.
Peristiwa
hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dari
Mekah ke Madinah merupakan satu peristiwa yang
sangat penting kepada umat Islam di seluruh
dunia dan peristiwa ini sering diperingati pada
setiap tahun khususnya di negara kita, Malaysia.
Selama tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menjalankan
usaha dakwah di Mekah, menyeru kaum kafir Quraisy
supaya beriman kepada Allah dan RasulNya, namun
begitu segala usaha baginda hanya diterima oleh
segelintir kecil sahaja di kalangan mereka.
Tempoh tiga belas tahun bukanlah satu jangka
masa yang singkat, lebih-lebih lagi dalam tempoh
masa tersebut di penuhi dengan pelbagai rupa
bentuk kezaliman, kekejaman, penderitaan dan
azab sengsara.
Perkataan
hijrah berasal daripada kalimah Arab yang memberi
makna pindah; berpindah dari satu tempat ke
satu tempat yang lain. Hijrah juga boleh ditafsirkan
sebagai satu perubahan lokasi, ia juga boleh
membawa maksud perpindahan yang bersifat kejiwaan,
rohani atau apa-apa jua situasi yang lebih abstrak
daripada itu.
Maksud
atau motif sebenar penghijrahan Rasulullah s.a.w.
ke Madinah adalah bukan kerana putus asa, takut
atau mahu melarikan diri daripada segala kekejaman
dan penyeksaan musuh Islam, tetapi adalah kerana
untuk menyelamatkan aqidah dan agama masyarakat
minoriti Islam ketika itu dari fitnah musuh.
Firman Allah s.w.t. :
Maksud
: Dan orang-orang yang beriman
dan berhijrah serta berjihad pada
jalan Allah ( untuk membela Islam
) dan orang-orang ( Ansar ) yang
memberi tempat kediaman dan pertolongan
( kepada orang-orang Islam yang
berhijrah itu ), merekalah orang-orang
yang beriman dengan sebenar-benarnya.
Mereka beroleh keampunan dan limpah
kurnia yang mulia.
( Al-Anfal : 74 )
|
|
Hijrahnya
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dengan segala
pengorbanan dan kesusahan adalah semata-mata
kerana menyahut seruan Allah s.w.t. bagi meninggalkan
buat sementara waktu kota Mekah yang ketika
itu dipenuhi dengan amalan-amalan syirik dan
kekufuran. Mereka menuju ke kota Madinah untuk
mendirikan sebuah masyarakat dan negara Islam
yang terlaksana di dalamnya kesempurnaan aqidah
dan nilai-nilai murni menurut ajaran Allah dan
RasulNya.
Penghijrahan
mereka dari bumi Mekah hanyalah semata-mata
mencari keredhaan Allah. Ketulusan hati mereka
ini telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam
firmanNya :
Maksud
: Juga kepada orang-orang fakir
yang berhijrah, yang telah diusir
keluar dari kampung halamannya
dan harta bendanya ( kerana berpegang
teguh kepada ajaran Islam ), untuk
mencari limpah kurnia dari Allah
dan keredhaanNya, serta menolong
( agama ) Allah dan RasulNya;
mereka itulah orang-orang yang
benar ( imannya dan amalnya ).
( Al-Hasyr : 8 )
|
|
Sebenarnya
peristiwa hijrah tidak mungkin terjadi tanpa
apa-apa sebab yang mendesak. Jika dilihat pada
realiti yang berlaku pada hari ini, seseorang
individu telah berhijrah dari kampung ke bandar
kerana menuntut ilmu, mencari pekerjaan, berniaga,
berkahwin dan sebagainya. Firman Allah s.w.t.
:
Maksud
: Dan sesiapa yang berhijrah pada
jalan Allah ( untuk membela dan
menegakkan Islam ), nescaya ia
akan dapati di muka bumi ini tempat
berhijrah yang banyak dan rezeki
yang makmur.
( An-Nisaa` : 100 )
|
|
Bagi
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat di Lembah
Hijjaz, hijrah dari Mekah menuju ke Madinah
merupakan sesuatu yang amat berat yang perlu
mereka tanggung. Hijrah mereka diburu dengan
mata pedang, berlinangan air mata dan diiringi
dengan korban nyawa serta harta benda. Hijrah
mereka bertujuan menyelamatkan aqidah dan iman
yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada mereka.
Bukan hanya setakat itu sahaja, penghijrahan
mereka juga kerana membawa risalah dakwah untuk
saudara-saudara mereka di Madinah dan untuk
generasi seterusnya hingga ke hari ini.
Sejarah
telah menceritakan kepada umum kisah-kisah yang
istimewa dan jarang ditemui apabila kerajaan
Islam pertama hendak didirikan di Madinah pada
tahun 622 Masihi, iaitu ketika berlakunya peristiwa
hijrah Rasulullah s.a.w. Kisah-kisah ini sebenarnya
mengambarkan suatu pengorbanan besar yang telah
diberikan oleh umat Islam ketika itu bagi menyahut
seruan Allah dan RasulNya bagi mendirikan sebuah
kerajaan Islam di Madinah. Oleh kerana mendirikan
masyarakat Islam itu merupakan satu tanggungjawab
yang wajib dipikul oleh setiap individu muslim,
maka mereka semuanya rela menunaikan amanah
tersebut dengan penuh ikhlas dan jujur hingga
terlaksananya kerajaan Islam yang pertama di
dunia iaitu di Kota Madinah Al-Munawwarah.
Sesungguhnya
hijrah amat perlu dalam kehidupan kita. Sebaik
sahaja kehidupan manusia di muka bumi ini, kita
dituntut untuk berhijrah dan terus berhijrah
dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik.
Sebagai
seorang pemimpin pilihan Allah, Rasulullah s.a.w.
menjalankan segala tanggungjawabnya sebagai
seorang Rasul dengan penuh amanah dan segala
tindakan yang dibuat adalah melalui bimbingan
wahyu Allah. Firman Allah s.w.t. :
Maksud
: Dan tidaklah apa yang dilafazkan
atas kehendak hawa nafsunya, ucapan
itu tiada lain hanyalah wahyu
yang telah diwahyukan melainkan
ia atas bimbingan wahyu.
( An-Najmu : 3-4 )
|
|
Di
antara perkara yang paling awal dan utama yang
diberi penekanan oleh baginda ketika mendirikan
kerajaan Islam di Madinah ialah sembahyang berjemaah.
Ia menjadi kewajipan dan tonggak kepada ajaran
Islam. Dengan melakukan sembahyang lima waktu
secara berjemaah, ia merupakan satu sistem dunia
dan akhirat yang tidak pernah diperkenalkan
oleh mana-mana pemimpin dunia. Melalui amalan
sembahyang secara berjemaah, setiap muslim akan
mematuhi beberapa disiplin tertentu yang terkandung
dalam ibadah sembahyang seperti imam adalah
sebagai pemimpin, sementara makmum akan mengikut
segala pergerakan imam.
Di
samping itu, sembahyang berjemaah dapat membentuk
konsep perpaduan yang hakiki dan mengeratkan
hubungan silaturrahim, membentuk kemesraan dan
kejituan dalam hubungan sesama muslim melalui
barisan saf yang rapat dan lurus. Amalan ini
akan kekal hingga hari kiamat dan ia merupakan
soalan pertama yang akan ditanya pada semua
umat manusia pada hari kebangkitan kelak. Sabda
Rasulullah s.a.w. :
Maksud
: Amalan pertama yang akan diperhitungkan
oleh Allah s.w.t. kepada hambaNya
pada hari kiamat ialah sembahyang.
( Riwayat At-Tabrani )
|
|
Ibadah
sembahyang boleh mengukuhkan iman dan menjadi
perisai bagi setiap individu muslim daripada
perkara fahsya` dan mungkar. Apabila ia dilakukan
secara berjemaah, sudah pasti ia akan menghasilkan
faedah yang lebih besar seperti perkenalan,
persefahaman, sifat bantu membantu serta boleh
menyatupadukan ummah.
Tuntutan
sembahyang berjemaah menurut Al-Quran.
Firman
Allah s.w.t. :
Maksud
: Dan dirikanlah sembahyang dan
keluarkanlah zakat, dan ruku`lah
kamu semua ( berjemaah ) bersama-sama
orang yang ruku` .
( Al-Baqarah : 43 )
|
|
Maksud
ruku` bersama orang yang ruku` pada ayat ini
ialah tuntutan supaya sembahyang fardhu dilakukan
secara berjemaah.
FirmanNya
lagi :
Maksud
: Dan apabila engkau (wahai Muhammad)
berada dalam kalangan mereka (semasa
perang), lalu engkau mendirikan
sembahyang dengan (menjadi imam
) mereka.
( An-Nisaa` : 102 )
|
|
Pengajaran
daripada ayat ini ialah jika sembahyang dalam
masa peperangan dituntut agar dilakukan secara
berjemaah, maka dalam suasana aman/tenang adalah
lebih aula ( lebih kuat tuntutannya ).
Tuntutan
sembahyang berjemaah menurut hadis.
Sabda
Rasulullah s.a.w. :
Maksud
: Sembahyang berjemaah itu lebih
baik daripada mendirikan sembahyang
secara bersendirian sebanyak dua
puluh tujuh darjat iaitu ganjaran.
( Riwayat Bukhari dan Muslim )
|
|
Sabda
Rasulullah s.a.w. :
Maksud
: Rasulullah s.a.w. tidak melihat
beberapa orang sahabatnya dalam
beberapa waktu sembahyang jemaah.
Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya
aku mengambil berat untuk menyuruh
seseorang supaya mendirikan sembahyang
secara berjemaah bersama orang
ramai. Kemudian aku pergi kepada
beberapa orang yang tidak mendirikan
sembahyang secara berjemaah. Lalu
baginda menyuruh supaya membakar
rumah mereka dengan seikat kayu.
Sekiranya salah seorang daripada
mereka mengetahui bahawa dia akan
mendapat segumpal daging yang
gempal, pasti dia akan mendirikan
sembahyang itu iaitu sembahyang
Isyak.
( Riwayat Bukhari dan Muslim )
|
|
Tuntutan
sembahyang berjemaah menurut ulama` fiqh .
Terdapat
beberapa perbezaan pendapat dikalangan ulama`
fiqh berhubung hukum sembahyang fardhu secara
berjemaah iaitu :
1.
Berjemaah pada sembahyang fardhu selain daripada
sembahyang Jumaat adalah sunat muakkad ( sunat
yang di tuntut ) ke atas lelaki yang berakal
yang mampu menunaikannya. Tidak wajib ke atas
wanita, kanak-kanak, hamba, orang yang tidak
berkeupayaan berjalan, orang sakit serta orang
tua. Ia dihukumkan sedemikian kerana merujuk
kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
`Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada
mendirikan sembahyang secara bersendirian sebanyak
dua puluh tujuh darjat iaitu ganjaran`.
Ini
menunjukkan bahawa sembahyang secara berjemaah
adalah untuk menambah sempurnakan lagi sembahyang
fardhu yang diwajibkan. Keadaan yang sempurna
adalah perkara yang melebihkan ganjaran (pahala),
bukan tuntutan yang dimestikan.
( Pendapat dari Al-Hanafiyah dan Al-Malikiyah;
Fiqh Islami Wa Adillatuh, 2/149, Al-Zuhaili,
serta sebahagian daripada ulama` Al-Syafiiyah;
Al-Muhazzab, 1/93,Al-Nawawi dan Fiqh Islami
Wa Adillatuh, 2/149, Al-Zuhaili ).
2.
Hukum berjemaah bagi sembahyang fardhu adalah
fardhu kifayah ke atas lelaki yang merdeka dan
bermukim bagi menonjolkan syiar berjemaah dengan
mendirikannya di masjid setiap kampung atau
mukim. Tidak dituntut ke atas wanita seperti
tuntutan ke atas lelaki.
( Pendapat yang asah dari mazhab Al-Syafiiyah;
Al-Majmu` 4/184-186, Fiqh Islami Wa Adillatuh,
2/150, Al-Zuhaili ).
3.
Hukum berjemaah bagi mendirikan sembahyang fardhu
adalah wajib `ainiyy, iaitu wajib ke atas setiap
mukallaf. Pendapat ini bersandarkan kepada ayat
Al-Quran mengenai sembahyang khauf, ayat Al-Quran
mengenai perintah ruku` bersama orang yang ruku`
dan hadis dari Abu Hurairah mengenai Rasulullah
s.a.w. bersumpah untuk membakar rumah lelaki
yang tidak menunaikan sembahyang fardhu berjemaah.
Perintah wajib `ainiyy bagi sembahyang fardhu
secara berjemaah diperkuatkan oleh perintah
syara` supaya sembahyang khauf ( sembahyang
ketika berlaku peperangan - dalam keadaan takut
) dilakukan secara berjemaah. Tetapi berjemaah
itu tidak diambil sebagai syarat sah sembahyang
seperti yang dinyatakan oleh Imam Ahmad.
( Pendapat Al-Hanbaliyah; Al-Mughni 2/130-131,
Ibnu Qudamah, Al-Majmu` , 4/283, Al-Nawawi,
Fiqh Islami Wa Adillatuh, 2/150-151, Al-Zuhaili
).
Terdapat
banyak natijah yang akan terhasil daripada amalan
sembahyang secara berjemaah dan menjadikan institusi
masjid sebagai wadah perpaduan ummah, antaranya
:
1.
Membina disiplin hidup yang tinggi.
Penghayatan terhadap sembahyang berjemaah pasti
mendorong ke arah satu fenomena di mana setiap
lima kali sehari semalam, umat Islam berbaris
dalam satu saf ( barisan ) yang rapi. Keadaan
ini sudah pasti melahirkan pelbagai disiplin
yang tinggi daripada pelbagai sudut; pengurusan
masa, pembersihan anggota badan, memastikan
pakaian sentiasa bersih dan sebagainya.
2.
Perhimpunan yang terbimbing.
Pertemuan lima kali sehari semalam sentiasa
dilakukan di bawah pimpinan seorang ketua, dengan
matlamat yang sama mengagungkan perintah Allah
s.w.t. Dalam disiplin kepimpinan menurut syara`
, makmum wajib mengikuti imam di samping boleh
menegur imam jika ia melakukan kesalahan. Makmum
juga perlu memastikan mereka berada dalam saf
( barisan ) yang lurus, bertemu bahu dan bergerak
dalam keadaan yang sama mengikuti imam. Perhimpunan
seperti ini pasti melahirkan masyarakat yang
harmoni, hormat menghormati dan bersatu padu
di bawah satu kepimpinan.
3.
Membina kesefahaman dan kesatuan fikrah.
Sembahyang berjemaah menuntut perhimpunan umat
Islam sesuatu kariah di satu tempat ( masjid
). Keadaan tersebut memudahkan pengisian segala
jenis ilmu wahyu bagi sesuatu kariah. Ini menjadikan
institusi masjid sebagai wadah membina kesatuan
fikrah yang berkesan di kalangan umat Islam.
4.
Membina semangat persaudaraan dan kerjasama.
Sembahyang berjemaah dan institusi masjid juga
merupakan wadah perancangan segala aktiviti
sosial, termasuklah merancang program gotong-royong,
menziarahi anggota masyarakat yang mengalami
masalah, sakit atau meninggal dunia dengan konsep
bantu membantu. Keadaan ini sudah pasti mendorong
ke arah perpaduan ummah yang lebih jitu dan
mantap.
Berdasarkan
nas-nas Al-Quran, hadis serta pendapat ulama`
fiqh, ternyata bahawa tuntutan sembahyang berjemaah
di masjid atau di tempat azan dikumandangkan
adalah amat dituntut. Ia dihubungkan terus dengan
institusi masjid yang merupakan program atau
wadah yang dapat mengukuhkan pembinaan diri
dan keluarga, sekaligus menyatu dan memantapkan
perpaduan dan perjuangan umat Islam.
Oleh
itu, falsafah yang tersirat di sebalik peristiwa
hijrah amat banyak dan inilah sebenarnya yang
memberikan kekuatan kepada umat Islam serta
memastikan kelangsungan sebuah perjuangan bagi
menegakkan syiar Islam.