|
|
|
|
|
|
|
Pendahuluan
|
Islam
menuntut setiap manusia bekerja, berusaha
mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga.
Di samping itu Islam juga menyatakan bahawa
sesuatu "pekerjaan" yang baik
ialah tugas yang diamanahkan kepada seseorang
insan. Maka apabila seseorang itu menjalankan
tugasnya ataupun bekerja, dengan sendirinya
bererti, bahawa insan tersebut sedang
menunaikan amanah Allah. Menurut Islam,
setiap kerja yang diredhai oleh Allah
dan disertai dengan niat adalah ibadat.
Oleh demikian setiap insan hendaklah menyedari
dan menghayati bahawa setiap lapangan
pekerjaan yang dilakukannya itu sekiranya
dimulai dengan niat, ia merupakan satu
ibadat.
|
Di
samping itu kita hendaklah juga mengetahui
bahawa setiap tugas atau kerja yang diberi
oleh Allah kepada seseorang itu adalah
menurut kemampuan orang yang berkenaan
seperti yang ternyata di dalam firman
Allah SWT :
Maksudnya
:
|
"Allah
tidak membebani seseorang melainkan
sesuai dengan apa yang terdaya
olehnya".
(Al-Baqarah : 286)
|
Ayat
ini menegaskan bahawa tidak ada sebab
bagi seseorang pekerja itu mengeluh dan
mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat
dan sukar. Dengan sendirinya ayat ini
menekankan bahawa seseorang pekerja itu
boleh menyelesaikan segala tugas jawatannya
melainkan pekerja itu sendiri tidak mahu
menunaikan tanggungjawabnya.
Selain
dari itu, setiap manusia hendaklah insaf
bahawa menurut ajaran Islam setiap kegiatan
kita di dunia ini akan diperhitungkan
di akhirat nanti sebagaimana ternyata
di dalam firman Allah SWT :
Maksudnya
:
|
"Tiap-tiap
diri bertanggungjawab terhadap
apa yang telah diperbuatnya".
(Al-Muddaththir : 38)
|
Ini
bererti sekiranya seseorang itu tidak
menunaikan kerja dengan sewajarnya, seperti
mencuri masa dengan membuat kerja peribadi
di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan
bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan
yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya
maka semestinya ia akan dihukum di akhirat
kelak walaupun mungkin terlepas daripada
tindakan tatatertib atau pun hukuman di
dunia ini. Sebaliknya berbahagialah seseorang
itu di dunia dan di akhirat sekiranya
kita melaksanakan tugas dengan sewajarnya
menurut tuntutan Islam.
Daripada
apa yang telah diutarakan, jelaslah bahawa
menurut ajaran Islam, setiap manusia wajib
mempunyai kerja. Islam tidak menyukai
kepada pengemis dan penganggur. Di samping
itu seseorang pekerja mestilah melaksanakan
tugas dengan sebaik-baiknya kerana Allah
telah menegaskan bahawa setiap pekerja
itu berupaya dan mampu untuk menunaikan
tanggungjawabnya. Samada seseorang pekerja
itu dapat menunaikan tugasnya dengan baik
atau tidak hanyalah bergantung kepada
sikap pekerja itu sendiri. Islam telah
menggariskan etika kerja dalam Islam antaranya
:
| 1.
Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri
Kepada Allah |
| 2.
Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah |
| 3.
Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap |
| 4.
Bekerja Dengan Semangat Kerjasama
Dan Berpadu Fikiran |
|
Etika
Kerja Pertama: Bekerja Dengan Azam Mengabdikan
Diri Kepada Allah
Dengan
menyedari dan menghayati bahawa manusia
adalah hamba Allah, maka sewajarnyalah
setiap manusia mengabdikan dirinya kepada
Allah, dengan mengikuti segala suruhan-Nya
dan menjauhi segala larangan-Nya selaras
dengan firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
|
"Wahai
sekalian manusia! Sembahlah Tuhan
kamu yang telah menciptakan kamu
dan orang-orang yang terdahulu
daripada kamu supaya kamu bertaqwa".
(Al-Baqarah : 21)
|
Setiap
penjawat awam hendaklah menjalankan tugasnya
dengan sepenuh kesedaran bahawa jawatannya
itu adalah amanah Allah kepadanya. Sekiranya
ia tidak menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya
maka bererti pekerja tersebut tidak menunaikan
amanah kepada Allah. Seseorang pekerja
hendaklah menyedari dan menghayati bahawa
bekerja untuk mencari nafkah yang dimulai
dengan niat itu adalah ibadat.
Setiap
penjawat awam harus menyedari bahawa
bekerja itu bererti beribadat, maka
sewajarnyalah bagi setiap pekerja berusaha
menunaikan tugasnya dengan sebaik-baiknya
demi kebahagiaan hidup di dunia dan
di akhirat kelak.
|
Etika
Kerja Kedua: Bekerja
Dengan ikhlas Dan Amanah
Bekerja
dengan ikhlas bererti bekerja dengan sepenuh
kerelaan dan dengan suci hati untuk mencari
keredhaan Allah. Setiap pekerja harus
menyedari bahawa jawatan yang di pegangnya
adalah hasil permohonannya sendiri dan
bukanlah ia dipaksa memenuhi jawatan tersebut.
Maka dengan sendirinya wajarlah seseorang
pekerja itu menjalankan tugasnya dengan
sepenuh kerelaan dan kesedaran bahawa
kerja yang dilaksanakan olehnya itu adalah
suatu amal soleh dalam usaha mengabdikan
diri kepada Penciptanya di samping berusaha
untuk menyara diri dan keluarga yang dikasihi
dan berkhidmat kepada masyarakat.
Seterusnya
setiap insan mestilah bersyukur kepada
Allah kerana rahmat-Nya kepada kita yang
tidak terhitung dan satu daripadanya ialah
yang kita sandangi ini. Kesyukuran kita
seharusnya memuncak lagi sekiranya kita
menginsafi bahawa banyak lagi manusia
lain yang masih menganggur dan tidak dapat
menyara keluarga dengan sewajarnya. Kita
juga hendaklah bersyukur kerana dengan
jawatan atau kerja kita ini, kita dapat
mengikut serta menyumbangkan tenaga di
dalam usaha membangunkan negara yang tercinta.
Moga-moga tercapailah cita-cita murni
untuk membangunkan suatu negara yang direhdai
Allah seperti firman-Nya:
Maksudnya:
|
"......Negara yang makmur
serta mendapat keampunan Tuhan"
(Saba`: 15)
|
Sekiranya
seseorang itu dapat menghayati dan mensyukuri
segala rahmat Allah, insyaAllah kita akan
dapat menunaikan tugas kita dengan ikhlas.
Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang
bermaksud :
|
Sebaik-baik
manusia ialah orang yang paling
banyak bermanfaat bagi sesama manusia'.
(Riwayat Al-Quda`)
|
|
Etika
Kerja Ketiga: Bekerja
Dengan Tekun Dan Cekap
Ketekunan
adalah suatu sifat yang amat diperlukan
oleh seseorang pekerja. Setiap pekerja
akan dapat meningkatkan kecekapan masing-masing
menjalankan tugas sekiranya tekun dalam
menjalankan tugas. Rasulullah S.A.W. bersabda
dengan maksud:
|
"Sesungguhnya Allah suka
apabila seseorang itu melakukan
sesuatu pekerjaan dengan tekun".
(Riwayat Al-Baihaqi)
|
Apabila
hendak menilai seseorang pekerja, ciri
yang terpenting ialah kecekapan. Mutu
kecekapan seseorang itu akan terus meningkat
jika pekerja itu sanggup belajar atau
menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan
dengan tugasnya sepanjang masa.
|
Etika
Kerja Keempat: Bekerja
Dengan Semangat Kerjasama Dan Berpadu Fikiran
Di
dalam perkhidmatan awam bahkan di dalam
sebarang perkhidmatan, seseorang pekerja
itu bertugas dalam suatu kumpulan pekerja
yang tertentu. Untuk menghasilkan perkhidmatan
yang cemerlang, sesuatu kumpulan pekerja
itu mestilah bekerjasama, bergotong-royong
melaksanakan tugas masing-masing. Sikap
bantu membantu di antara satu sama lain
di antara pekerja, akan menimbulkan suasana
bekerja yang aman dan gembira. Suasana
yang demikian pula akan meningkatkan hasil
dan mutu perkhidmatan. Allah SWT menegaskan:
Maksudnya:
|
"Dan
tolong menolonglah kamu dalam
mengerjakan kebajikan
(Al-Ma'idah : 2)
|
Selain
dari bekerjasama dalam menjalankan tugas,
hendaklah diwujudkan satu budaya bagi
menggalakkan perbincangan sesama sendiri,
bertukar fikiran, mengkaji masalah yang
ada dan juga untuk menghadapi masalah
yang mungkin timbul. Perbincangan seperti
ini akan meningkatkan rasa kekitaan di
antara pekerja dan dengan sendirinya pula
meningkatkan rasa tanggungjawab bersama.
|
Kesimpulan
|
Sebagai
sebuah negara Islam, Malaysia sudah semestinya
berusaha untuk terus meningkatkan usaha
menerapkan nilai-nilai murni di dalam
setiap bidang pekerjaan. Setiap individu
yang bekerja, hendaklah sentiasa sedar
dan berusaha untuk menunaikan tugas mereka
menurut ajaran Islam, ajaran yang mementingkan
kebahagiaan umat manusia sejagat.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
 |
|
|