Ajaran Azhar Bin Wahab (Pengasas Al-Mansur Holding Sdn. Bhd.)

(Download Fail PDF)

KEDUDUKAN AJARAN
AZHAR BIN WAHAB
(PENGASAS AL-MANSUR HOLDINGS SDN. BHD.)
LATAR BELAKANG AZHAR BIN WAHAB

LATARBELAKANG

 

 

 

Azhar bin Wahab mendapat pendidikan di sekolah menengah kebangsaan dan tidak menerima pendidikan agama secara formal. Mendapat pendidikan awal di kampung- nya di Sekolah Kebangsaan Kuala Sidim,Kulim, Kedah. Kemudian menyambung pelajarannya ke Sekolah Menengah Padang Serai, Kulim, Kedah hingga ke tingkatan tiga sahaja. Selepas memperolehi Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Azhar bin Wahab bekerja mengambil upah mengait buah kelapa sawit di LadangKelapa Sawit Padang Buloh, Kuala Sidim.

Azhar kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pemandu kepada Pegawai Eksekutif di Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional, Jalan Ampang Kuala Lumpur. Beliau bekerja pula sebagal penjual kereta terpakai selepas berhenti sebagai pemandu. Semasa itulah beliau mengenali Ustaz Hanapi, bekas orang kuat al-Arqam. Beliau mendakwa mengetahui amalan ilmu urut tradisional, ianya diamalkan secara bersendirian dan juga kepada ahli al-Arqam. Semasa itulah bermulanya usaha beliau untuk mempengaruhi bekas ahli al-Arqam dan berjaya menubuhkan syarikatnya sendiri hinggalah ke hari ini.

Ia dipanggil ‘Ayah’ oleh pengikut (kakitangannya) dan ‘Tok Wan’ oleh anak kakitangan tanpa mengira tua atau muda. Selepas itu digelar sebagai ‘Tuan’, ‘Yang Amat Mulia’, ‘Yang Berhormat Mulia’ dan akhir sekali sebagai ‘Yang Teramat Mulia Ayahanda Raja’.

Azhar bin Wahab menjadi guru kepada pengikutnya dengan dibantu oleh pengikut-pengikut utamanya seperti Ahmad bin Meh dan Hj. Ilias bin Yusuf. Mereka merupakan perancang utama dalam meneruskan usaha serta cita-cita Azhar melalui pelbagai dakwaan serta mencetuskan segala ketaksuban yang berlaku di kalangan ahli.

KUMPULAN AL-MANSUR HOLDING

 

Kumpulan al-Mansur Holding muncul selepas al-Arqam di bubarkan. Kebanyakan ahli-ahli al -Mansur terdiri dari bekas ahli al-Arqam.

Perkataan ‘al-Mansur’ bermaksud membantu atau menolong. Ini bersesuaian dengan konsep penubuhannya iaitu untuk menjadi pemangkin bagi melahirkan bangsa Melayu peneraju ekonomi dunia dengan berpegang pada prinsip ‘Bersatu Maju Bersama’.

Kumpulan yang diasaskan oleh Azhar bin Wahab pada tahun 1998 ini, menjalankan aktiviti perniagaan dan didaftarkan sebagai sebuah syarikat iaitu ‘Al- Mansur Holding Sdn. Bhd.’ Nombor pendaftaran syarikat (Co. 523446-U) beralamat di No. 19, Jalan Cempaka 1/1, Bandar Aman Jaya, 08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman.

Al-Mansur Holding Sdn. Bhd. mempunyai 30 buah kumpulan anak syarikat di seluruh negara. Hanya beberapa rangkaian sahaja yang aktif manakala bakinya hanya atas nama sahaja untuk mengaburi mata masyarakat atau sebagai pelindung kepada aktiviti-aktiviti utama yang boleh mengumpul dana yang banyak. Antara aktiviti perniagaan yang aktif ialah urutan refleksi dan ubat-ubatan herba tradisional. Di samping itu ia menggunakan pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz al-Mansur yang masih di bawah umur untuk menjual kalendar, cenderamata dan seumpamanya beserta memungut derma atas nama anak yatim.

ISU

 

Isu Ajaran Azhar Wahab timbul dalam masyarakat apabila kumpulan al-Mansur melaksanakan aktiviti yang didapati bercanggah dengan Islam dan sebagai peng-ganti kepada gerakan kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan.

Dalam pada itu, hasil kajian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati ada tanda-tanda bahawa kumpulan ini mengamalkan ajaran ‘Aurad Muhammadiah’ pegangan al-Arqam satu ketika dulu di samping beberapa penambahan lain yang boleh membawa kepada kerosakan akidah.

JAKIM telah mengadakan pertemuan khas dengan pihak pengurusan al-Mansur pada 15 November 2002 di Putrajaya. Selain itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama bekas-bekas ahli kumpulan al-Mansur di Putrajaya, Selangor dan Kedah.

CIRI-CIRI AJARAN AZHAR WAHAB

 

Dari Segi Akidah
Mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah (pengakuan semasa perjumpaan dengan Ketua Pengarah JAKIM pada 15 November 2002);

Menggunakan ‘Tawassul’ iaitu berdoa sebelum melakukan urut refl eksi dengan berkata "Ya Allah dengan berkat dan karamah Guruku Tuan Azhar, sembuhkanlah penyakit si pulan....”;

Mengadakan kuliah tertutup untuk ahli dan kakitangan serta didampingi oleh ‘Pak Syeikh’ atau ‘Wali Allah’. Azhar bin Wahab pernah mendakwa rohnya berada di gunung Jerai bersama wali Songo dan Nabi Khaidir sedang tubuhnya berada di Damansara;

Berbai’ah akan mengikut segala arahan guru dan merahsiakannya dari orang ramai, sesiapa yang belot atau keluar hidupnya tidak akan selamat;

Memakan ais sebagai satu syarat mendapatkan karamah dan guru. Memakan ais ini simbol kepada amalan pertapaan bagi mendapat ilmu perbomohan;

Mendakwa ada mempunyai bala tentera dan kapal terbang ghaib;

Mendakwa mempunyai masjid jin di Gunung Jerai di samping, mengaku selalu bermesyuarat dengan golongan jin di gunung-gunung tertentu seperti Gunung Santubong di Sarawak;

Mendakwa ia mengetahui pergerakan orang yang mengintip setiap aktivitinya;

Mendakwa mempunyai pengawal dari golongan jin;

Menangis di hadapan pengikutnya kerana mendakwa nampak dan tahu kesalahan agama yang pernah dibuat oleh pengikutnya;

Percaya dengan khurafat seperti;

i. Semasa perarakan untuk melantik beliau sebagai Naib Khalifah Seni Silat mem-pertahankan diri al-Mansur, seekor gajah telah menarik tangannya. Beliau amat percaya dengan telahan di kalangan ahli perarakan bahawa gajah tersebut meminta beliau menaiki belakangnya kerana beliau berketurunan ‘raja’;

ii. Tabib dan tabibah diarah menggunakan keris untuk mengubat dan mempercayai keris tersebut ada penunggu;

iii. Menggunakan setanggi untuk diasapkan di setiap pusat rawatan sebelum memulakan perniagaan urut refleksi di samping itu memberi salam kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Khaidir dan Azhar sendiri. Amalan ini dilakukan setiap
hari sebelum memulakan perniagaan atau membuka perniagaan.

Dari Segi Syariat

Mana-mana ahli yang didapati bersalah dan jika dapat dikesan oleh Azhar, maka ahli berkenaan akan dikenakan ‘dam’ sama ada dalam bentuk wang atau harta benda;

Solat waktu sentiasa dijamakkan walaupun bukan dalam musafir;

Apa sahaja yang dibawa oleh Azhar bin Wahab adalah benar belaka dan tidak boleh dipertikaikan segala keputusan dan arahannya;

Dari Segi Akhlak

Memulakan ucapan dengan bersumpah memegang al- Quran. Ini dilakukan oleh Azhar bin Wahab dan pengikut kanannya Hj. Illias bin Hj.Yusuf (di majlis pertemuan dengan Ketua Pengarah JAKIM pada 15 November 2002 lalu);

Mendakwa boleh memberi ‘barakah’ dan ‘syafa’at’ kepada anak muridnya;

Mendakwa ada keberkatan kerana boleh menarik duit para pelanggan dan mereka akan mengeluarkan wang sebanyak mana yang mereka ada;

Memberitahu pengikutnya bahawa dirinya boleh dilihat manusia sebagai berpa-kaian biasa tetapi sebenarnya beliau berjubah serba putih, berserban, bermisai dan berjanggut seperti wali Allah;

Mendakwa boleh ke mana-mana dengan serta merta termasuk ke China dan ke Mekah;

Mengugut ahli agar jangan derhaka kepadanya kerana nanti tidak mendapat karamah; dan

Mewajibkan ahli agar tidak bercampur-gaul
dengan masyarakat.

KEPUTUSAN

 

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah membuat keputusan bahawa ajaran Azhar bin Wahab (Pengasas Al-Mansur
Holdings Sdn. Bhd.) adalah diharamkan, kerana didapati ada percanggahan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

SENARAI NAMA AHLI JAWATANKUASA
PERUNDING HUKUM SYARA’ (FATWA)
NEGERI SELANGOR
[SESSI 2003-2005]

1.

 

2.
3.
4.
5.
6.
7.
8.
9.
 
10.
 

S.S. DATO’ SERI UTAMA DIRAJA DATO’
SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD WAHID
Mufti Negeri Selangor

S.S. DATO’ HAJI ABDUL MAJID BIN OMAR
Timbalan Mufti Negeri Selangor

Y.B. DATIN PADUKA HAJJAH BADARIAH BT HASSAN
Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor

Y.BHG. PROF MADYA DATO’ HAJI MOHD MOKHTAR BIN HAJI SHAFII
Pensyarah kanan, Kolej Dar Al-Hikmah

Y.BHG. PROF. MADYA MD SALEH BIN HAJI MD @ HAJI AHMAD
Pensyarah, Jabatan Feqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Y.BHG. PROF MADYA DR. ZALEHA BINTI KAMARUDDIN
Dekan, Pusat Pembangunan Siswazah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Y.BHG. TUAN HAJI ABDUL AZIZ BIN ANDIK ACHOK
Pendakwah

Y.BHG. TUAN HAJI ALUWI BIN PARMAN
Timbalan Pengarah, Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor

Y.BHG. TUAN HAJI OTHMAN BIN HAMZAH
Imam Besar Masjid Negeri, Masjid Negeri Selangor

TUAN HAJI ZAINAL ABIDIN BIN SULAIMAN
Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Selangor (Setiausaha)